Dalam pembacaan al-Quran terdapat 4 tingkatan bacaan. Ada yang membaca secara laju, ada yang membaca lambat.
1. Pertama - Tartīl الترتيل
Bacaan yang penuh ketenangan dan sederhana lajunya dengan menjaga segala hukum tajwid beserta tadabur atau menghayati maknanya.
وهو القراءة بتؤدة واطمئنان وإخراج كل حرف من مخرجه مع إعطائه حقه ومستحقه مع تدبر المعاني.
Ertinya: Membaca dengan lambat dan tenang, mengeluarkan setiap huruf dari makhrajnya dengan memberikan sifat-sifat yang dimilikinya, baik asli maupun mendatang (hukumnya) serta memperhatikan makna ayat.
2. Kedua - Taḥqīq التحقيق
Bacaanya seperti Tartil akan tetapi lebih perlahan dan lebih tenang. Ini adalah kerana bacaan ini adalah peringkat permulaan bagi orang mahu belajar tajwid.
وهو مثل الترتيل إلا أنه أكثر منه اطمئنانا.
Ertinya: Membaca seperti Tartil tetapi lebih tenang dan lambat.
Bacaan Taḥqīq seperti mazhab Qiraat Hamzah dan Warsh yang bukan dari ṭarīq Aṣbahānī.
3. Ketiga - Ḥadar الحدر
Bacaan yang laju akan tetapi masih menjaga hukum tajwidnya. Bukan hendak berlumba akan tetapi apabila sampai tempat dengung dia dengung, wakaf dia berhenti. Selalu bacaan pada tingkat ini adalah bacaan para penghafaz al-Quran yang mahu mengulang hafalannya.
وهو الإسراع في القراءة مع مراعات الأحكام.
Ertinya: Membaca dengan cepat tetapi masih menjaga hukum-hukumnya.
Bacaan Ḥadar adalah membaca Mad Munfasil dengan 2 harakat seperti mazhab Ibnu Kathir, Abu Amr, Ya’qub, Abu Ja’far, Qalun dan Asbahani.
4. Keempat - Tadwīr التدوير
Bacaan pertengahan antara Tartil dan Hadar. Selalunya bacaan seperti ini dapat kita lihat di dalam solat contohnya Solat Terawih.
وهو مرتبة متوسطة بين الترتيل والحدر.
Ertinya: Tingkatan pertengahan antara Tartil dan Hadr.
Bacaan Tadwīr adalah membaca Mad Munfasil tidak lebih dari 6 harakat seperti mazhab Ibnu ‘Amir dan Kisā’i.
Berkata Ibnu Jazari dalam Ṭayyibah:
ويقرأ القرءان بالتحقيق مع * حدر وتدوير وكل متبع
مع حسن صوت بلحون العرب * مرتلا مجودا بالعربى
Ertinya: Harus al-Quran itu dibaca dengan 3 jenis bacaan Tahqiq, Hadar, Tadwir. Membaca al-Quran dengan suara yang elok, dengan lagu arab secara tartil dan bertajwid dan dengan bahasa arab.
Yang paling afdhal ialah bacaan Tartil kerana al-Quran itu diturunkan secara tartil seperti firman Allah dalam surah al-Muzammil: ayat 4. Dan ia juga menjadi dalil bacaan secara Tartil. Wallahu a’lam. Hayati video di bawah berkenaan topik yang dibincangkan ini.
No comments:
Post a Comment