Ilmu tajwid bermula sejak al-Quran diturunkan lagi, iaitu sejak dibacakan oleh Malaikat Jibril kepada Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w. diperintahkan untuk membaca al-Quran dengan bertajwid dan tartil seperti yang disebut dalam Surah al-Muzammil ayat 4 yang bermaksud:
“Bacalah al-Quran itu dengan tartil (bertajwid)”.
Selepas turunnya ayat di atas, baginda Rasulullah s.a.w. mengajarkan ayat tersebut kepada para sahabat dengan bacaan yang serupa secara bertajwid juga.
Saidina Ali bin Abi Talib r.a. apabila ditanya tentang apakah maksud bacaan al-Quran secara Tartil itu, maka beliau menjawab:
هو تجويد الحروف ومعرفة الوقوف
Maksudnya: Mengelokkan sebutan setiap huruf dan berhenti pada tempat yang betul.
Ini menunjukkan pembacaan al-Quran bukanlah suatu ilmu hasil ijtihad para ulama yang diolah berdasarkan dalil-dalil dari al-Quran dan as-Sunnah, tetapi pembacaan al-Quran adalah suatu yang Taiqifi. Ia diambil terus melalui riayat dan dari sumber yang asal iaitu sebutan dan bacaan Rasulullah s.a.w. sendiri.
Para sahabat r.a. pula adalah orang yang amanah dalam mewariskan bacaan ini kepada generasi umat Islam selepasnya. Mereka tidak akan menambah atau mengurangkan apa yang telah mereka pelajari itu kerana mereka merasa takut kepada Allah S.W.T. Begitu juga dengan Tabi’ien.
Walau bagaimanapun, penulisan ilmu Tajwid yang paling awal bermula ketika bermulanya penulisan al-Quran pada zaman Khalifah Uthman bin Affan r.a. Bermulanya kesedaran perlunya titik-titik serta baris dalam Mushaf Uthmaniah. Gerakan ini diketuai oleh Abu Aswad Ad-Duali dan Al-Khalil bin Ahmad Al-Farahidi. Merekaditugaskan oleh Sayidina Uthman untuk meletakkan baris dan titik bagi mengelakkan umat Islam melakukan kesalahan semasa membaca ayat al-Quran. Ini kerana enam mushaf yang ditulis pada zaman pemerintahan Sayidina Uthman adalah tidak berbaris dan bertitik, kerana umat Islam pada masa itu menghafaz ayat-ayat al- Quran di dada masing-masing dan membacanya seperti yang diambil terus daripada nabi s.a.w.
Setelah berkembangnya agama Islam ke seluruh Tanah Arab, serta meluasnya pemerintahan Islam sampai ke Rom dan Parsi, bahasa Arab mula bercampur aduk dengan bahasa lain menyebabkan berlakunya kesalahan dalam bahasa Arab. Banyak kesalahan dalam pembacaan al-Quran telah berlaku. Maka Mushaf Uthmaniah telah dinaiktarafkan dengan menambah baris dan titik pada huruf-hurufnya sebagaimana yang dapat kita luhat sekarang ini. Tujuannya adalah untuk mengelakkan kesalahan semasa membaca al-Quran.
Karangan ilmu Tajwid yang paling awal ialah tulisan Abu Mazahim al_Haqani (أبو مزاحم الحاقاني ), wafat tahun 325H dalam bentuk Qasidah (puisi) ilmu Tajwid pada akhir kurun ke 3 Hijrah. Selepas itu lahir pula para ulama seperti Abu ‘Amr Ad-Dani (wafat 444H), dengan kitabnya At-Taysir. Kemudian lahir pula Imam Asy-Syatibi (wafat 590H) dengan kitabnya “Hirzul Amani Wa Wajhut Tajwid Tahani” yang menjadi tunggak kepada karangan tokoh-tokoh lain yang sezaman dan yang selepas mereka. Kedua mereka tersebut menggandingkan ilmu Tajwid dan Qiraat dalam karangan dan perbahasan mereka.
Kemudian lahir pula seorang tokoh yang amat penting dalam ilmu Tajwid dan Qiraat iaitu Imam Al-Jazari (wafat 833H) . Karangan beliau yang masyhur ialah “An-Nasyr”, Toyyibatun Nasyr dan “Ad-Durratul Mudhiyyah” yang menyatakan ilmu Qiraat sepuluh sebagai pelengkap bagi apa yang telah dinyatakan oleh Asy-Syatibi dalam kitabnya “Hirzul Amani” sebagai qiraat tujuh. Imam Al-Jazari telah mewriskan karangan-karangannya yang begitu banyak berserta bacaannya sekali yang kemudiannya telah menjadi ikutan dan panduan bagi karangan-karangan ilmu Tajwid dan Qiraat serta bacaan al-Quran hingga ke hari ini.
No comments:
Post a Comment